24 Mei 2009

18 Mei, hari UKM

Oleh Zin Mahmud
(Petikan Mingguan Malaysia 24 Mei 2009)

Pagi Ahad lalu, penulis ini dihubungi oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasa kecewa apabila membaca senarai hari-hari peringatan yang diperturunkan dalam ruangan ini untuk menunjukkan keistimewaan bulan Mei.

''Saudara terlupa mengenai 18 Mei,'' katanya. Sememangnya penulis tidak teringat apa yang bermakna mengenai 18 Mei. Apabila membaca akhbar keesokannya dengan melihat perasmian Muzium Warisan Akademik sempena sambutan ulang tahun ke-39 UKM, barulah disedari bahawa 18 Mei itu adalah hari ulang tahun penubuhan universiti itu.

Ia bermakna bahawa tiga institusi Melayu ditubuhkan pada bulan Mei. Yang paling awal ialah mulanya penerbitan akhbar Utusan Melayu iaitu pada 29 Mei 1939, diikuti dengan UMNO pada 11 Mei 1946 dan UKM pada 18 Mei 1970.

Tiga institusi ini penting bagi sesebuah bangsa, iaitu akhbar, parti politik dan universiti. Satu lagi ialah institusi kewangan. Bagi orang Melayu, institusi kewangan yang ditubuhkan untuk membela bangsa ialah Bank Bumiputra pada 1 Februari 1966. Ia kemudian menjadi Bumiputera-Commerce Bank. Akhirnya menjadi CIMB dan hilanglah nama Bumiputera.

Begitu juga dengan akhbar Utusan Melayu. Ia kini menjadi sebuah sisipan bernama Utusan Melayu Mingguan yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia setiap Isnin.

UKM berjaya berkembang menjadi salah satu universiti penting negara. Ia telah menghasilkan banyak siswazah yang menyumbangkan kepada pembinaan negara, tepat dengan sifat nasional universiti ini. Antara contoh, banyak pemimpin MCA adalah siswazah UKM.

Satu lagi sumbangan penting UKM ialah mengungkapkan ilmu moden yang pelbagai cabang dalam bahasa Melayu. Adanya UKM, bahasa Melayu berkembang begitu pesat terutama dalam bidang sains dan teknologi. Sememangnya bahasa Melayu tentunya boleh digunakan untuk aktiviti keilmuan yang tinggi. Ini dapat dilihat daripada buku-buku ilmiah yang diterbitkan oleh Penerbit UKM. Kecergasan penerbit ini menghasilkan karya-karya ilmiah menunjukkan ia merupakan institusi tersendiri bagi memperkayakan khazanah ilmu dalam Bahasa Malaysia, dalam beberapa segi lebih baik daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Begitu besarnya sumbangan UKM kepada khazanah kebangsaan Malaysia berteraskan Melayu. Tetapi andai kata penggunaan Bahasa malaysia ditinggalkan dalam mengungkapkan pemahaman sains hingga terutamanya di peringkat pengajian tinggi termasuk UKM, maka kekayaan bahasa yang selama ini dibina dengan begitu susah payah akan sedikit demi sedikit hilang seperti mana nasib yang menimpa tulisan jawi dan akhbar Utusan Melayu.

Hilang

Setakat tulisan jawi yang hilang, masih boleh digagahi oleh bangsa, tetapi andai kata keseluruhan bahasa dilumpuhkan kepada kedudukan hanya untuk penggunaan popular, maka keupayaan bahasa Melayu sebagai wahana bagi pemahaman sains dalam bentuk berbeza dan lebih mendalam supaya dapat dihayati oleh rakyat negara ini akan akhirnya hilang.

Tentang UKM, penulis masih ingat pada tahun 1974, apabila pihak universiti itu beroperasi di kampus Lembah Pantai bersebelahan Universiti Malaya, yang kini menempatkan Institut Bahasa Melayu.

Pada zaman itu, tidak ada Internet dan di rumah penulis di kampung, yang tidak mempunyai bekalan elektrik, tentunya tidak ada televisyen, maka maklumat bergantung kepada radio, akhbar dan bahan-bahan cetak yang dikirim melalui pos. Salah satu kegemaran penulis sebagai seorang pelajar tingkatan tiga ketika itu ialah menulis surat kepada pejabat-pejabat penerangan institusi, agensi, persatuan dan kedutaan untuk memohon bahan penerangan percuma, maklumlah dahagakan maklumat dan bahan bacaan.

Maka bahagian perhubungan raya UKM ketika itu mengirim kepada penulis melalui pos satu bungkusan besar yang mengandungi pelbagai bahan cetak mengenai UKM, termasuk laporan-laporan tahunannya. Ibu penulis terkejut melihat bungkusan besar itu dihantar oleh posmen kepada anaknya.

Penulis juga mengirim surat meminta maklumat daripada Persatuan Mahasisiwa UKM ketika itu. Mereka turut menghantar bahan yang antaranya ialah akhbar universiti bernama Gemasiswa. ketika itu, Setiausaha Agung PMUKM ialah Halim Arshat, yang 20 tahun kemudian menjadi Setiausaha Agung Pas. Pada masa itu tapak universiti di Bangi yang penuh di hutan sedang dibersihkan. Zaman itu adalah masa sebelum adanya Akta Universiti dan Kolej di mana persatuan pelajar bebas menerbitkan akhbar sendiri. Maka isu yang dikemukakan oleh Gemasiswa ialah pempersoalkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham, Datuk Harun Idris menanyakan ke manakah hasil balak-balak yang diangkut keluar dari tapak kampus itu. Turut disiarkan ialah kartun menteri Besar dan balak-balaknya.

Malaysia sentiasa menekankan soal pendidikan dan ekonomi. Kalau pada tahun-tahun 60-an, penekanannya adalah dari sudut kebangsaan hingga lahirnya UKM dan Bank Bumiputera, tetapi pada tahun-tahun 80-an, perhatian adalah kepada cara hidup Islam. Maka dari semangat ini pula muncul Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Kini terdapat 20 universiti awam di negara ini. Dua universiti bernama Islam iaitu UIAM dan Universiti Sains islam malaysia (USIM). Sementara bank Islam sudah banyak. Selain daripada BIMB dan Bank Muamalat, banyak bank yang sudah ternama mempunyai bank Islam masing-masing.

''Sekarang sudah banyak universiti, manalah saya hendak ingat hari ulang tahun penubuhan UKM,'' kata penulis ini kepada pensyarah yang kecewa itu.

Walaupun penulis ini sudah sedar bahawa 18 Mei itu hari ulang tahun UKM, pensyarah itu tetap marah. Rupa-rupanya penulis lupa bahawa hari jadi dia sama tarikh dengan ulang tahun UKM.

25 April 2009

Tiada Lemak Babi dalam Coklat


Coklat makanan ringan yang digemari ramai


Prof. Madya Dr. Mamot Said

Laporan dan Foto oleh: Raai Osman


Makanan yang berasaskan haiwan menjadi isu sensitif kepada masyarakat Islam dan masyarakat yang mengamalkan makanan vegetarian. Jikalau termakan maka ia akan menjadi satu kesalahan. Demikian ujar Prof. Dr. Mamot Said dalam satu sidang akhbar di UKM hari ini.


Beliau menekankan bahawa tidak ada unsur-unsur lemak haiwan terutamanya lemak babi dalam mana-mana produk coklat yang ada di pasaran. Lemak yang dibenarkan hanyalah lemak tumbuhan itu pun tidak lebih 5% sahaja yang dibenarkan.


Coklat mudah ditakrifkan sebagai sejenis makanan ringan (snek) jenis konfeksi (confections=makanan yang tinggi kandungan gula) yang diperbuat daripada campuran lemak koko, pepejal koko dan gula. Coklat tulen hendaklah hanya menggunakan lemak koko (coco butter). Kerana tinggi kandungan lemak (~30) dan gula (~40%}, maka coklat adalah merupakan makanan snek yang padat dengan tenaga.


Menurut Dr. Mamot, coklat menjadi sumber tenaga segera, amat sesuai untuk olahraga dan mereka yang melakukan aktiviti lasak.


Umumnya coklat mengandungi pepejal koko,susu (untuk coklat susu) dan gula yang tersebar di dalam fasa selajar (continuos phase) lemak koko. Lesitin (lecithin) soya umumnya digunakan sebagai pengemulsi (emulsifier). Formulasi umum coklat adalah berikut:
Gula 30-50%, Koko 8-30%, Susu 0-24% dan lemak 27-33%.


Coklat menyediakan tenaga segera

Adalah tidak benar coklat yang diimport mahupun coklat tempatan mengandungi lemak babi kerana lemak selain lemak susu tidak dibenarkan. Mengikut “The Cocoa and Chocolate Products (England) Regulations 2003 draft Statutory Instrument (SI) memimplementsikan Council Directive 200/36/EC yang membenarkan penggunaan lemak tumbuhan di dalam semua produk coklat sehingga maksimum 5% di dalam Negara ahli EU. Sekiranya lemak tumbuhan tersebut melebihi 5% ia tidak dipanggil coklat lagi, ia akan disebut coklat kopaun (compound chocolate).


Menurut Dr. Mamot, di Negara berhawa panas (tropika), coklat kompaun menggunakan serbuk koko, gula, pepejal susu (coklat kompaun susu), manakala lemak koko diganti dengan gentian lemak koko (cocoa butter substitute, CBS) yang berasaskan lemak tumbuhan lain seperti pecahan pertengahan sawit (palm mid fraction, PMF).


Sidang akhbar khas ini diadakan oleh UKM dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST)dan Fakulti Pengajian Islam diadakan di Bangi selepas solat Jumaat bagi memberi penjelasan secara ilmiah ekoran penyiaran berita, "Coklat enak import didakwa ada lemak babi" oleh sebuah akhbar tabloid pada hari selasa lalu. Sidang akhbar ini dipengerusikan oleh Dekan FST Prof. Dr. Musa Ahmad dan dihadiri oleh dua orang pensyarah Fakulti Pengajian islam bagi menjelaskan isu berkaitan dengan hukum Islam.


Prof. Dr. Mamot Said merupakan penyelidik yang telah mengkaji koko sejak tahun 1975 ketika bertugas di MARDI kemudian pada tahun 1990 bertugas di Lembaga Koko Malaysia. Sejak tahun 1993 beliau bertugas di FST UKM.


Dalam sidang akhbar tersebut, Prof. Madya Dr. Mamot sering menyoal kembali “untuk apa digunakan lemak haiwan terutamanya lemak babi?, untuk apa?”.


Peraturan yang sedia ada tidak memungkinkan ini berlaku. Malahan di Perancis menurut Dr. Mamot, lemak selain lemak koko tidak dibenarkan sama sekali.


Seperti yang diketahui umum, air (dan bahan yang larut di dalamnya) dan minyak/lemak (dan bahan yang larut di dalamnya tidak boleh bercampur (immicible). Coklat mengandungi kedua-dua jenis sebatian ini. Agar ramuan itu boleh bercampur, maka pengemulsi digunakan. Contohnya, semasa membuat kek atau air krim di rumah, suri rumah menggunakan kuning telur (egg yolk) agar marjerin dan gula, tepung boleh diadun. Didalam kuning telur terdapat lesitin, pengemulsi semulajadi.


Perusahaan mampu menjana ekonomi rakyat


Dari kiri: Prof. Madya Dr.Ibrahim Abu Bakar (FPI),
Prof.Madya Dr. Mamot Said,
Dekan FST Prof. Dr. Musa Ahmad dan
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim (FPI)


Pengemulsi adalah bahan aktif permukaan (surface active agent, surfactant). Dari segi kimia, sebatian ini bersifar amfofilik (amphophilic), iaitu mengandungi kedua-kedua gugusan lipofilik (lipophilic, lipis loving) dan hidrofilik (hydrophilic, water loving). Gula adalah hidrofilik, manakala lemak/minyak adalah lipofilik. Ini mudah digambarkan dalam molekul lesitin.


Isu E yang didakwa adalah lemak babi adalah merujuk kepada kod European, atau sekarang European Community (EU) yang diberi kepada setiap bahan tambah (additives) untuk memudahkan mengenalpastikan berdasarkan kelas kimianya. Dibawah ini ialah antara bahan tambah makanan yang menjadi kerisauan pengguna Islam.


Menjawab satu soalan apakah kekeliruan yang sering timbul masalah lemak babi kerana ahli sains, penyelidik dirujuk, Dr. Mamot menegaskan bahawa ahli sains hanya mengeluarkan fakta. Bukan fatwa.


Menurut Dekan FST , Prof. Dr Musa Ahmad yang mempengerusikan sidang akhbar tersebut, tujuan majlis ini diadakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat. FST sendiri mempunyai kumpulan penyelidik koko di Pusat Pengajian Sains Kimia dan Pemakanan. Kursus-kursus jangka pendek sering dianjurkan untuk pengusaha makanan berasaskan koko.


Menurut Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dari Fakulti Pengajian Islam, meletakkan hukum halal atau haram tidak boleh berdasarkan dakwaan kerana fakta yang dibuat oleh ahli sains menerusi kajian akan diambil kira sebelum membuat keputusan halal atau haram sesuatu makanan. Badan-badan seperti JAKIM akan menentukan semua ini.

Pautan yang berkaitan:
Berita Harian

09 Februari 2009

Kelestarian Khidmat Masyarakat


Setiap tahun Penduduk Kundang Ulu menjadi tetamu UKM
di majlis sambutan Aidil Fitri yang diadakan di kampus Bangi.

(Petikan dari buku atur cara Majlis Pelancaran Program Jalinan Erat UKM-Masyarakat Kundang Ulu)


Pada bulan Disember 2006, Malaysia, termasuk Johor telah dilanda satu siri banjir luar biasa. Banjir akibat hujan lebat yang dibawa oleh Typhoon Utor (yang turut melanda Filipina dan Vietnam) telah membawa hujan yang sangat lebat. Kawasan Bandar dan kampong di Segamat, Pontian, Muar, Kota Tinggi, Batu Pahat, Johor Baru dan Mersing telah ditenggelami banjir. Hubungan jalan raya di Kota Tinggi dan Segamat telah terputus sepenunhnya. Ramai mangsa yang kehilangan harta benda dan terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.


Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia merasai keperitan yang dihadapi mangsa banjir ini dan telah menggerakkan satu pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 120 orang pelajar dan staf untuk menghulurkan bantuan kecemasan kepada penduduk yang terjejas. Pada minggu ketiga Januari 2007.. kawasan ini telah dilanda banjir yang lebih besar daripada yang pertama. Banjir ini telah melumpuhkan Johor apabila 8 daerahnya ditenggelamai air. Kedua-dua bencana banjir ini dianggar mengakibatkan kerugian berjumlah RM1.5 billion. Sekali lagi, pada 16hb Januari 2007, UKM, dibawah Jabatan Perkhidmatan Pelajar telah menggerakkan satu pasukan sekarelawan yang lebih besar. Kali ini UKM menghantar sekitar 100 orang sukarelawan yang lengkap dengan kecukupan kendiri (self sufficient) untuk memberikan bantuan.


Penderitaan mangsa banjir di Johor amnya dan Kampung Kundang Ulu khasnya telah menyentuh hati Naib Canselor UKM, YBhg Prof Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Shahabudin dan warga UKM. Menyedari bahawa bantuan dan khidmat UKM kepada masyarakat tidak seharusnya terhad kepada bantuan meringankan kesan bencana alam sahaja, dan oleh kerana UKM mampu memberikan khidmat masyarakat yang lebih komprehensif dan lestari maka pada 16hb Februari 2007, beliau telah mengisyhtiharkan Kampung Kundang Ulu sebagai kampung angkat UKM. Pengisytiharan ini bagi membolehkan UKM memberikan khidmat kemasyarakatan yang lebih formal dan teratur.


Berikutan dengan pengisytiharan tersebut beberapan tindakan susulan jangka pendek telah diambil termasuk pemberian khidmat kesihatan masyrakat yang telah dijalankan oleh staf dan pelajar Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UKM. Perkhidmatan ini bukan sehaja telah membantu membuat saringan kesihatan yang diperlukan mereka. Untuk merapatkan lagi silaturrahim antara penduduk kampung dan UKM, beberapa penduduk telah dijemput menghadiri jamuan hari raya yang diadakan di UKM. Pelajar sekolah tidak dilupakan apabila pihak UKM telah membawa mereka melawat beberapa fakulti dan kampus UKM untuk mendedahkan mereka kepada kehidupan kampus universiti.


Pada masa yang sama Pejabat Hubungan Universiti-Masyarakat dibawah Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industeri dan Masyarakat telah berusaha untuk mempertingkatkan lagi usaha sedia ada dengan projek-projek jangka panjang dan berteraskan penyelidikan yang diperlukan oleh masyarakat Kampung Kundang Ulu telah ditubuhkan untuk mengenalpasti, merancang, melaksana dan memantau jenis khidmat yang diperlukan oleh penduduk kampung, Guru Besar dan Pengetua sekolah serta beberapa wakil agensi kerajaan beberapa projek khidmat masyarakat telah dikenalpasti dan dilaksanakan. Melalui Pejabat Hubungan Universiti-Masyarakat, tiga projek penyelidikan berteraskan khidmat masyarakat Kampung Kundang Ulu telah diluluskan. Projek yang memakan masa 3 tahun (bermula pada tahun 2008) dan bernilai sekitar RM 400,000 akan menekankan aspek kesihatan masyarakat, pendidikan dan ICT.


Apa yang dibanggakan mengenai projek khidmat masyarakat Kampung Kundang Ulu ini ialah ia bermula dengan tindakan murni bantuan kecemasan banjir oleh mahasisiwa dan staf universiti. Berkat iltizam pihak Naib Canselor dan warga UKM serta sokongan dan kerjasama ADUN, Penghulu dan Pengetua-pegetuan kampung serta anak buahnya, aktiviti ini telah berkembang dan berjaya menjadi satu projek khidmat masyarakat yang komprehensif melibatkan kesihatan masyarakat dan pendidikan pelajar-pelajar sekolah, bukan sahaja kepada 74 keluarga berbagai etnik dan tahap sosio-ekonomi serta pelajar dan guru di tiga buah sekolah tetapi juga masyarakat kampung-kampung dan sekolah-sekolah berjiran.


Majlis Pelancaran Projek Khidmat Masyarakat Kundang Ulu, ini bukan sahaja dapat mewarwarkan aktiviti yang sudah dan sedang dilaksanakan tetapi dapat menggalakkan penglibatan aktif semua pihak agar projek sedia ada dapat menggalakkan penglibatan aktif semua pihak agar projek sedia ada dapat dijalankan dengan jayanya dan projek-projek baru dapat dilaksanakan untuk memastikan kelestarian khidmat masyarakat.

Lihat pautan yang berkaitan:

05 Disember 2008

Muzium Warisan Akademik






Sebuah muzium yang menempatkan koleksi kejayaan UKM telah diwujudkan bertempat di tingkat enam Bangunan Canselori. Muzium Warisan Akademik ini menyimpan koleksi kejayaan UKM sejak penubuhannya hingga kini.


Berbagai koleksi penyelidikan, hadiah serta pingat oleh para penyelidik disimpan di sini dengan harapan ianya akan menjadi tatapan umum dan warga UKM.

14 Ogos 2008

Fakta Yang Menarik di Majlis Konvokesyen UKM Ke-36 2008



















Tiga orang penerima anugerah di Majlis Konvokesyen UKM Ke-36 2008 mempunyai kaitan sejarah dengan Fakulti Sains di UKM.

Prof.Dr.Jalani Sukaimi yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains merupakan Dekan pertama Fakulti Sains Hayat mulai 1982. Kini beliau menjadi Dekan Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia.

Manakala Prof.Dato' Dr. Ikram M.Said yang dilantik menjadi Profesor Emeritus merupakan Dekan pertama Fakulti Sains dan Teknologi mulai 1999. Beliau juga merupakan Dekan terakhir Fakulti Sains Fizis dan Gunaan. Kemudian menjadi Dekan pertama di Fakulti Sains dan Teknologi mulai tahun 1999.Prof.Dato' Dr. Ikram M. Said juga pernah menjadi Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik)UKM

Prof.Dato' Dr. Abdul Latiff bin Mohamad yang menerima gelaran Profesor Emeritus merupakan Dekan terakhir Fakulti Sains Hayat.

Untuk rekod Fakulti Sains Fizis dan Gunaan serta Fakulti Sains Hayat merupakan fakulti yang ditubuhkan pada tahun 1982. Kemudian distrukturkan semula pada tahun 1999 lalu tertubuhnya Fakulti Sains dan Teknologi. Sebagai catatan sejarah, diawal penubuhan UKM Fakulti Sains merupakan salah satu fakulti yang pertama ditubuhkan bersama tertubuhnya UKM pada tanggal 18 Mei 1970.

Fakta yang menarik di Majlis Konvokesyen UKM Ke-36 ialah beberapa tokoh yang dianugerahkan Profesor Emeritus ada kaitan dengan alam sekitar.

Lain-lain tokoh yang menerima anugerah gelaran Profesor Emeritus ialah: Prof.Dato'Dr. Muhammad bin Yahya, Prof.Dato' Dr. Abdul Samad Abdul Hadi dan Prof.Dato'Dr.Hood Mohd.Salleh.

Ijazah Kehormat pula dianugerahkan kepada Nik Safiah Nik Ismail-Ijazah Kehormat Doktor Sains Kesihatan,Tan Sri Datuk Amar Dr. Sulaiman bin Daud-Ijazah Kehormat Doktor Sains,Dato' Kamarulzaman bin Abdul Ghani-Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Alam Sekitar dan Pembangunan)dan Prof.Dr.Jong Duk Lee (dari Korea Selatan)-Ijazah Kehormat Doktor Sains.

Seramai 7,273 graduan dianugerahkan ijazah pada konvokesyen kali ini termasuk lima penerima ijazah kehormat dan Profesor Emeritus, 188 ijazah doktor falsafah (PhD), 137ijazah sarjana kepakaran, 1,209 ijazah sarjana, 5,302 ijazah sarjana muda, 297 diploma siswazah, 113 diploma dan 17 sijil.

[Gambar atas sekali: Dari kiri-Timbalan Naib Canselor(Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa)Prof. Datuk Dr. Sukiman bin Sarmani,Prof.Dato' Dr. Abdul Latiff bin Mohamad,Prof.Dr.Jalani bin Sukaimi, Prof.Dr. Aminah binti Abdullah]
[Gambar tengah: Prof.Dato' Dr. Ikram M. Said]
[Gambar bawah:Prof.Dato' Dr.Hood bin Mohd.Salleh]


Catatan: Raai Osman, PPnP UKM