24 Mei 2009

18 Mei, hari UKM

Oleh Zin Mahmud
(Petikan Mingguan Malaysia 24 Mei 2009)

Pagi Ahad lalu, penulis ini dihubungi oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berasa kecewa apabila membaca senarai hari-hari peringatan yang diperturunkan dalam ruangan ini untuk menunjukkan keistimewaan bulan Mei.

''Saudara terlupa mengenai 18 Mei,'' katanya. Sememangnya penulis tidak teringat apa yang bermakna mengenai 18 Mei. Apabila membaca akhbar keesokannya dengan melihat perasmian Muzium Warisan Akademik sempena sambutan ulang tahun ke-39 UKM, barulah disedari bahawa 18 Mei itu adalah hari ulang tahun penubuhan universiti itu.

Ia bermakna bahawa tiga institusi Melayu ditubuhkan pada bulan Mei. Yang paling awal ialah mulanya penerbitan akhbar Utusan Melayu iaitu pada 29 Mei 1939, diikuti dengan UMNO pada 11 Mei 1946 dan UKM pada 18 Mei 1970.

Tiga institusi ini penting bagi sesebuah bangsa, iaitu akhbar, parti politik dan universiti. Satu lagi ialah institusi kewangan. Bagi orang Melayu, institusi kewangan yang ditubuhkan untuk membela bangsa ialah Bank Bumiputra pada 1 Februari 1966. Ia kemudian menjadi Bumiputera-Commerce Bank. Akhirnya menjadi CIMB dan hilanglah nama Bumiputera.

Begitu juga dengan akhbar Utusan Melayu. Ia kini menjadi sebuah sisipan bernama Utusan Melayu Mingguan yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia setiap Isnin.

UKM berjaya berkembang menjadi salah satu universiti penting negara. Ia telah menghasilkan banyak siswazah yang menyumbangkan kepada pembinaan negara, tepat dengan sifat nasional universiti ini. Antara contoh, banyak pemimpin MCA adalah siswazah UKM.

Satu lagi sumbangan penting UKM ialah mengungkapkan ilmu moden yang pelbagai cabang dalam bahasa Melayu. Adanya UKM, bahasa Melayu berkembang begitu pesat terutama dalam bidang sains dan teknologi. Sememangnya bahasa Melayu tentunya boleh digunakan untuk aktiviti keilmuan yang tinggi. Ini dapat dilihat daripada buku-buku ilmiah yang diterbitkan oleh Penerbit UKM. Kecergasan penerbit ini menghasilkan karya-karya ilmiah menunjukkan ia merupakan institusi tersendiri bagi memperkayakan khazanah ilmu dalam Bahasa Malaysia, dalam beberapa segi lebih baik daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Begitu besarnya sumbangan UKM kepada khazanah kebangsaan Malaysia berteraskan Melayu. Tetapi andai kata penggunaan Bahasa malaysia ditinggalkan dalam mengungkapkan pemahaman sains hingga terutamanya di peringkat pengajian tinggi termasuk UKM, maka kekayaan bahasa yang selama ini dibina dengan begitu susah payah akan sedikit demi sedikit hilang seperti mana nasib yang menimpa tulisan jawi dan akhbar Utusan Melayu.

Hilang

Setakat tulisan jawi yang hilang, masih boleh digagahi oleh bangsa, tetapi andai kata keseluruhan bahasa dilumpuhkan kepada kedudukan hanya untuk penggunaan popular, maka keupayaan bahasa Melayu sebagai wahana bagi pemahaman sains dalam bentuk berbeza dan lebih mendalam supaya dapat dihayati oleh rakyat negara ini akan akhirnya hilang.

Tentang UKM, penulis masih ingat pada tahun 1974, apabila pihak universiti itu beroperasi di kampus Lembah Pantai bersebelahan Universiti Malaya, yang kini menempatkan Institut Bahasa Melayu.

Pada zaman itu, tidak ada Internet dan di rumah penulis di kampung, yang tidak mempunyai bekalan elektrik, tentunya tidak ada televisyen, maka maklumat bergantung kepada radio, akhbar dan bahan-bahan cetak yang dikirim melalui pos. Salah satu kegemaran penulis sebagai seorang pelajar tingkatan tiga ketika itu ialah menulis surat kepada pejabat-pejabat penerangan institusi, agensi, persatuan dan kedutaan untuk memohon bahan penerangan percuma, maklumlah dahagakan maklumat dan bahan bacaan.

Maka bahagian perhubungan raya UKM ketika itu mengirim kepada penulis melalui pos satu bungkusan besar yang mengandungi pelbagai bahan cetak mengenai UKM, termasuk laporan-laporan tahunannya. Ibu penulis terkejut melihat bungkusan besar itu dihantar oleh posmen kepada anaknya.

Penulis juga mengirim surat meminta maklumat daripada Persatuan Mahasisiwa UKM ketika itu. Mereka turut menghantar bahan yang antaranya ialah akhbar universiti bernama Gemasiswa. ketika itu, Setiausaha Agung PMUKM ialah Halim Arshat, yang 20 tahun kemudian menjadi Setiausaha Agung Pas. Pada masa itu tapak universiti di Bangi yang penuh di hutan sedang dibersihkan. Zaman itu adalah masa sebelum adanya Akta Universiti dan Kolej di mana persatuan pelajar bebas menerbitkan akhbar sendiri. Maka isu yang dikemukakan oleh Gemasiswa ialah pempersoalkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham, Datuk Harun Idris menanyakan ke manakah hasil balak-balak yang diangkut keluar dari tapak kampus itu. Turut disiarkan ialah kartun menteri Besar dan balak-balaknya.

Malaysia sentiasa menekankan soal pendidikan dan ekonomi. Kalau pada tahun-tahun 60-an, penekanannya adalah dari sudut kebangsaan hingga lahirnya UKM dan Bank Bumiputera, tetapi pada tahun-tahun 80-an, perhatian adalah kepada cara hidup Islam. Maka dari semangat ini pula muncul Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Kini terdapat 20 universiti awam di negara ini. Dua universiti bernama Islam iaitu UIAM dan Universiti Sains islam malaysia (USIM). Sementara bank Islam sudah banyak. Selain daripada BIMB dan Bank Muamalat, banyak bank yang sudah ternama mempunyai bank Islam masing-masing.

''Sekarang sudah banyak universiti, manalah saya hendak ingat hari ulang tahun penubuhan UKM,'' kata penulis ini kepada pensyarah yang kecewa itu.

Walaupun penulis ini sudah sedar bahawa 18 Mei itu hari ulang tahun UKM, pensyarah itu tetap marah. Rupa-rupanya penulis lupa bahawa hari jadi dia sama tarikh dengan ulang tahun UKM.

Tiada ulasan: